Negeri Melaka (Tulisan Jawi: ملاك; juga dikenali sebagai Melaka Negeri Bersejarah atau Negeri Hang Tuah) ialah sebuah negeri di Malaysia.
Pada tahun 2008 Melaka diisytiharkan oleh UNESCO sebagai Bandar Warisan Dunia (World Heritage). Negeri Melaka juga diisytiharkan sebagai 'Melaka Maju' pada 20.10.2010 pada jam 20:10 di Stadium Hang Jebat yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia langsung dari Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. Melaka juga dinyatakan sebagai Negeri Bandar Teknologi Hijau. Negeri ini mempunyai penduduk yang agak berpendidikan tinggi, dengan kadar literasi remaja 99.5% seperti yang dilaporkan oleh Laporan Matlamat Pembangunan Millennium 2015. Pada tahun 2016, Melaka menjadi tempat paling selamat untuk tinggal di Malaysia. Kadar jenayah indeks negeri mencatatkan penurunan sebanyak 15.5 peratus pada tahun 2017 dengan 3,096 kes direkodkan berbanding 3,663 pada 2016. Melaka mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.1% pada 2017, yang kedua tertinggi di negara ini selepas Sabah. Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama kepada ekonomi negeri ini pada 44.8% daripada KDNK. KDNK per kapita juga berkembang 11.2% kepada RM46,015 pada 2017, melebihi angka peringkat nasional sebanyak RM42,228. Laporan Sosioekonomi Negeri 2017 yang diterbitkan pada 26 Julai 2018 melaporkan bahawa Melaka merupakan negeri yang merekodkan kadar pengangguran terendah pada tahun 2017 dengan hanya 1.0 peratus.